Pembunuhan Ibu Tunggal: Polis Tunggu Arahan Pendakwa Raya

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang hari ini mengesahkan kertas siasatan kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni pada 4 Februari lalu telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan sepenuhnya dan pihaknya kini menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Siasatan telah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada DPP pagi ini untuk arahan seterusnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga suspek yang ditahan sebelum ini masih direman bagi membantu siasatan.

Mereka terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 40 dan 46 tahun serta seorang lelaki warga Rohingya berusia 38 tahun.

Perintah sambung reman dikeluarkan Majistret bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian awal Februari lalu, mangsa berusia 41 tahun ditemukan tidak bernyawa di bilik tidur kediamannya dengan kesan kelar di leher dipercayai akibat diserang menggunakan senjata tajam.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada perasaan cemburu, manakala ketiga-tiga suspek diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

BBerkaitan

Latest articles