Kerajaan Akan Dedah Laporan RCI Tabung Haji, Mungkin Hari Ini Atau Rabu Depan

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) dijangka didedahkan kepada umum dalam masa terdekat apabila kerajaan menyatakan kesediaan untuk menyiarkannya demi memastikan rakyat mengetahui perkara sebenar mengenai isu penjualan aset strategik institusi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sebelum memutuskan sama ada laporan berkenaan boleh diterbitkan hari ini atau perlu dibawa terlebih dahulu ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.

Menurut beliau, sekiranya tiada keperluan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet, laporan itu akan didedahkan segera.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada ia perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Jika tidak perlu, saya akan keluarkan hari ini. Jika perlu, saya akan tunggu selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu kerana rakyat berhak mengetahui kandungannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sebelum ini mengambil pendekatan berhati-hati kerana tidak mahu pendedahan laporan tersebut mengganggu proses pemulihan TH yang sedang dilaksanakan.

Katanya, usaha memulihkan institusi itu kini dipimpin Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, bersama barisan pengurusan baharu yang sedang melaksanakan syor dan penambahbaikan berdasarkan dapatan RCI.

“Sebelum ini kita tidak mahu tergesa-gesa kerana bimbang ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.

“Bagaimanapun, keadaan TH kini jauh lebih baik dan saya tiada halangan untuk laporan itu diterbitkan kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, memaklumkan di Dewan Negara bahawa pemindahan aset TH yang bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 merupakan keputusan yang dipersetujui secara kolektif oleh Jemaah Menteri ketika itu.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil selepas laporan Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia menunjukkan TH berdepan defisit aset berbanding liabiliti sebanyak RM10.9 bilion.

Menurutnya, pelan penstrukturan semula itu membuahkan hasil apabila jumlah deposit TH meningkat daripada RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion setakat pertengahan tahun ini.

Anwar menegaskan, selepas kedudukan TH kembali stabil, tiada lagi sebab untuk kerajaan merahsiakan laporan RCI tersebut kerana ketelusan kepada rakyat perlu diutamakan.

BBerkaitan

Latest articles