Malaysia Naik Tangga CPI Dunia, Anwar Tegaskan Tiada Siapa Kebal Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan kerajaan Madani dalam membanteras rasuah secara sistemik dan memperkukuh struktur tadbir urus negara mula membuahkan hasil apabila kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan peningkatan di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lonjakan Malaysia ke kedudukan ke-54 dunia membuktikan komitmen serius kerajaan dalam memerangi rasuah serta membetulkan kelemahan institusi yang sekian lama menjejaskan keyakinan rakyat.

Menurut beliau, peningkatan itu turut dipacu oleh tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu oleh agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Antara kejayaan utama ialah pemulihan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, pengesanan dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama membebankan kewangan awam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menzahirkan rasa syukur atas peningkatan kedudukan tersebut, namun menegaskan kerajaan Madani tidak akan berkompromi apabila melibatkan isu integriti institusi strategik negara.

Beliau berkata, tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, selain pendedahan kartel serta kes rasuah berprofil tinggi, mencerminkan prinsip jelas bahawa tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang.

“Pencapaian ini juga menjadi peringatan bahawa usaha memerangi rasuah mesti digandakan secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipelihara,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan Laporan CPI 2025 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) hari ini, Malaysia mencatat peningkatan daripada kedudukan ke-57 pada 2024 kepada ke-54.

Malaysia juga berada di kedudukan ketiga terbaik dalam kalangan negara ASEAN, di belakang Singapura dan Brunei.

Skor CPI negara meningkat kepada 52 mata berbanding 50 mata pada tahun sebelumnya, menunjukkan trend peningkatan yang sederhana namun positif.

BBerkaitan

Latest articles