‘Dulu Nak Cari RM3 Juta Pun Susah, Kini Dana Yayasan Cecah Hampir RM30 Juta’ – Aminuddin

SEREMBAN: Kejayaan mengukuhkan kedudukan kewangan Yayasan Negeri Sembilan membolehkan kerajaan negeri memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan untuk manfaat rakyat, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, ketika PH mula mentadbir negeri, dana simpanan yayasan berkenaan berada pada tahap yang sangat rendah, namun hasil pengurusan kewangan yang berhemah dan tadbir urus yang telus, jumlah simpanan kini meningkat hampir 10 kali ganda.

“Dulu nak dapat RM3 juta pun susah. Hari ini dengan kepimpinan dan pengurusan yang betul, simpanan kita hampir RM30 juta dan kita boleh berbelanja RM18 juta setahun untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan, malam tadi.

Menurut Aminuddin, kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan kerajaan negeri menyediakan bantuan pendidikan secara percuma kepada anak-anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka selepas tamat pengajian.

Dalam pada itu, beliau berkata manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini turut memberi penekanan kepada perluasan bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), selain meneruskan sokongan kepada kumpulan B40.

Katanya, keluarga dengan pendapatan sehingga RM8,000 sebulan bakal menikmati pelbagai manfaat di bawah tawaran baharu itu.

“Bukan lagi hanya B40, tetapi kita juga mahu M40 menerima bantuan kerana mereka turut berdepan peningkatan kos sara hidup dan pelbagai komitmen keluarga,” katanya.

Antara tawaran yang diumumkan ialah peningkatan bantuan pendaftaran IPT kepada RM500 bagi peringkat sijil, RM750 (diploma), RM1,200 (ijazah sarjana muda) dan RM1,500 bagi pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, Bantuan Sara Hidup pelajar IPTA turut dicadang dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan, bersamaan RM2,400 setahun.

Bagi golongan warga emas pula, PH menawarkan perluasan skim bantuan kepada mereka yang berusia antara 65 hingga 69 tahun dengan kadar RM200 setahun, manakala bantuan untuk penerima berumur 70 tahun ke atas dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 setahun.

Manifesto itu turut merangkumi bantuan penuh peralatan ortopedik bagi mangsa kemalangan serta bantuan RM500 bagi pendaftaran pelajar ke sekolah berasrama penuh.

Aminuddin berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang lima tahun pentadbiran PH membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mengurus kewangan secara berintegriti, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira kaum.

BBerkaitan

Latest articles