SENAWANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan stabil, sekali gus membolehkan pentadbiran negara memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda memacu ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kestabilan politik yang dinikmati ketika ini menjadi faktor utama meningkatkan keyakinan pelabur, selain memastikan pelbagai dasar dan program pembangunan dapat dilaksanakan tanpa gangguan.
“Kerajaan Perpaduan hari ini kekal kukuh dan stabil. Apabila politik stabil, ekonomi dapat melonjak dan pelaburan asing terus masuk ke dalam negara.
“Kestabilan ini amat penting kerana banyak negara berdepan kemerosotan akibat ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.
Anwar berkata, kekukuhan kerajaan hari ini sekali gus menepis pelbagai dakwaan dan percubaan pihak tertentu yang didakwanya berusaha menggugat pentadbiran sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Menurutnya, usaha menjatuhkan kerajaan bukan didorong kepentingan rakyat, sebaliknya lebih kepada perebutan kuasa dan jawatan.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa kestabilan kerajaan dicapai dengan mengorbankan kepentingan Bumiputera atau dipengaruhi mana-mana parti dalam gabungan kerajaan.
Sebaliknya, Anwar menegaskan kestabilan politik memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk memperkukuh kedudukan sosioekonomi Bumiputera.
Beliau berkata, antara langkah yang telah diambil ialah mengisytiharkan kawasan seluas 50 ekar di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu, selain meneruskan sokongan dan peruntukan kepada agensi seperti MARA dan FELDA.
Sehubungan itu, Anwar menggesa rakyat terus mempertahankan kestabilan politik negara dan tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta mengganggu usaha kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.










