SENAWANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berniat membangkitkan semula isu lama membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebaliknya mahu memastikan segala kelemahan pengurusan terdahulu diperbetulkan demi menjaga kebajikan peneroka.
Menurut beliau, usaha yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bertujuan memulihkan kedudukan FELDA supaya institusi itu kembali kukuh, bukannya untuk menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya tidak berhasrat mengungkit kisah-kisah lama atau menyalahkan sesiapa dalam isu FELDA.
“Namun kita perlu mengakui kelemahan pengurusan sebelum ini menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa memikul tanggungjawab besar untuk menyelamatkan institusi ini, demi memastikan kebajikan warga peneroka serta generasi kedua terus terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menepis dakwaan bahawa penglibatan DAP dalam Kerajaan Perpaduan menjejaskan agenda memperkasa orang Melayu dan Bumiputera.
Anwar menegaskan sepanjang pentadbiran kerajaan hari ini, tidak pernah timbul bantahan daripada DAP atau mana-mana parti komponen terhadap dasar serta peruntukan yang melibatkan kepentingan orang Melayu, Islam dan Bumiputera.
“Tidak pernah sekali pun DAP atau kepimpinannya menolak program memartabatkan agenda Melayu dan Islam yang dibawa kerajaan.
“Sama ada melibatkan peruntukan kepada MARA, FELDA atau usaha mempertahankan hak tanah Melayu, semuanya mendapat sokongan kerana mereka memahami ia adalah tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah untuk memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.










