SENAWANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyindir BN-PN yang didakwanya masih gagal menamakan calon Menteri Besar walaupun rancak meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kegagalan gabungan berkenaan menampilkan pemimpin yang bakal menerajui negeri menunjukkan mereka lebih tertumpu kepada perebutan kuasa berbanding menawarkan hala tuju pentadbiran yang jelas kepada rakyat.
“Hari ini mereka bercerita tentang kuasa, tetapi mereka sendiri tidak tahu siapa yang bakal menjadi Menteri Besar. Siapa Menteri Besar selepas ini kalau mereka menang? Memang tidak ada, mereka masih tidak tahu.
“Jangan beri peluang kepada mereka berebut jawatan. Sebagai kerajaan, kita mesti jelas daripada sekarang. Bayangkan kalau Pakatan Harapan tidak umum calon Menteri Besar, sudah tentu kita diserang dari pagi sampai petang,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.
Aminuddin berkata, berbeza dengan PH yang tampil dengan kepimpinan jelas, pihak lawan sehingga kini masih belum dapat menjawab persoalan asas mengenai siapa yang akan mengetuai pentadbiran negeri sekiranya diberi mandat.
Beliau turut mendakwa keghairahan BN-PN untuk menawan Negeri Sembilan berpunca daripada prestasi kewangan negeri yang semakin kukuh di bawah pentadbiran PH.
Menurutnya, rizab simpanan negeri kini mencecah RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1 bilion pada penghujung tahun lalu, sekali gus membuktikan pengurusan ekonomi negeri berada di landasan yang baik.
“Sebab itu mereka mahu mengambil Negeri Sembilan. Kita simpan RM1 bilion hujung tahun lepas dan sekarang kita ada RM1.3 bilion.
“Tetapi kita mahu mengembalikan hasil itu kepada rakyat dan terus menyejahterakan mereka. Walaupun Negeri Sembilan negeri kecil yang tiada hasil minyak, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita yakin mampu terus mempertahankan negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran dan tidak terpengaruh dengan retorik politik, sambil menyeru jentera PH terus bekerja keras bagi memastikan kerajaan negeri dapat dikekalkan pada PRN kali ini.










