‘Lihat Perjuangan Sebenar, Kembalilah’ – Aminuddin Pelawa Penyokong PAS Sokong PH

SENAWANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengajak penyokong PAS supaya menilai semula perjuangan politik mereka dengan melihat rekod pentadbiran kerajaan negeri yang disifatkannya berjaya mengutamakan kebajikan rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, PH dan PAS pernah bekerjasama sebelum ini, justeru beliau berharap ahli serta penyokong parti itu dapat menilai sendiri pencapaian kerajaan negeri berbanding sekadar dipengaruhi retorik politik.

“Kepada penyokong-penyokong PAS, saya mohon lihatlah perjuangan yang sebenar. Kami pernah bersama suatu ketika dahulu, kembalilah dan lihatlah apa yang telah kita laksanakan di negeri ini.

“Kita mahu mengangkat darjat ummah dan bangsa. Itulah matlamat yang kita perjuangkan hari ini, bukan sekadar bercakap soal kuasa,” katanya no ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.

Aminuddin berkata, kedudukan kewangan Negeri Sembilan yang semakin kukuh membuktikan komitmen kerajaan PH dalam mengurus pentadbiran secara berhemah, sekali gus membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat tanpa mengutamakan kepentingan politik.

Menurutnya, rizab negeri kini melepasi RM1.3 bilion berbanding sekitar RM1 bilion pada penghujung tahun lalu, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang semakin kukuh.

Katanya, hasil pengurusan kewangan yang cekap itu membolehkan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai insentif kepada rakyat dan penjawat awam, termasuk pemberian bonus tiga bulan kepada kakitangan awam negeri serta peningkatan kadar Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran dan pencapaian kerajaan, sambil mendakwa pihak lawan lebih banyak menumpukan kepada perebutan kuasa berbanding mengemukakan perancangan yang jelas untuk masa depan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles