KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, keputusan yang dicapai mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap keupayaan, komitmen serta khidmat yang ditampilkan BN, khususnya di peringkat akar umbi.
Katanya, sokongan itu turut menjadi isyarat jelas bahawa pendekatan berteraskan perkhidmatan kepada rakyat terus mendapat tempat dalam kalangan pengundi.
Anwar menegaskan, kemenangan tersebut wajar diterjemahkan sebagai satu amanah besar yang menuntut kepimpinan berintegriti, telus serta keupayaan menyampaikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Madani akan terus memelihara semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan agenda pembangunan di Sabah dapat diperkukuh secara berterusan.
“Kerajaan Madani komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, di samping menjayakan agenda madani melalui kerjasama dan tekad bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat yang berjaya memenangi kedua-dua kerusi berkenaan, iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Mohd Ismail Ayob.
Beliau juga berharap agar legasi khidmat dan kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat Kinabatangan dan kawasan sekitarnya.
Semalam, calon Pemuda BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, mencatat kemenangan bergaya apabila mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan memperoleh 19,852 undi dan majoriti besar sebanyak 14,214 undi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan, Mohd Kurniawan menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid pula meraih 946 undi.
PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdullah Malek.










