KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
FELDA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan tinggi kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas Ahmad Badri untuk menerajui organisasi strategik itu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” menurut kenyataan itu.
Ahmad Badri mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dengan pengalaman melebihi tiga dekad dalam sektor awam dan korporat, bermula selepas beliau menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.
Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan strategik termasuk memegang portfolio penting sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.
Sebelum pelantikan baharu ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menganggotai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi RHB Bank Berhad, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Dari aspek kelayakan akademik, Ahmad Badri memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Mengulas lanjut mengenai hala tuju agensi itu, FELDA menzahirkan keyakinan penuh bahawa di bawah kepimpinan Ahmad Badri, organisasi berkenaan akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA.
Langkah itu juga dijangka dapat meningkatkan kemampanan ekonomi dan mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka di seluruh negara.
“Kepimpinan beliau diharapkan dapat membawa FELDA melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara,” menurut agensi itu.










