KUALA LUMPUR, 14 Julai — Agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kedaulatan Malaysia pada A3 dengan Tinjauan Stabil, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap daya tahan ekonomi negara, disiplin fiskal dan prospek pertumbuhan jangka sederhana.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding negara lain yang mempunyai penarafan setara, disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, sumber asli yang mencukupi serta simpanan domestik yang kukuh. Selain itu, asas pelabur domestik yang besar terus membantu memenuhi keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan dan mengekalkan kos pinjaman pada tahap sederhana.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian Moody’s mencerminkan ketahanan ekonomi Malaysia serta kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil negara.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut tidak seharusnya membawa kepada sikap leka, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk mempergiat usaha reformasi supaya pengurusan ekonomi yang berhemat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam keadaan dunia yang masih berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekonomi negara, mengekalkan kestabilan domestik, memastikan kepastian dasar serta memperkukuh momentum reformasi.
MOF berkata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, meningkat daripada 5.2 peratus pada 2025, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, penggunaan dan pelaburan swasta serta sumbangan eksport elektronik yang lebih baik. Moody’s turut berpandangan prestasi Malaysia dijangka terus mengatasi negara berpenarafan setara walaupun berdepan cabaran seperti ketegangan geopolitik Asia Barat, turun naik harga tenaga global dan permintaan luar yang lebih perlahan.
Agensi penarafan itu juga mengiktiraf pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak 2023 kerana berjaya memperluaskan asas cukai kerajaan dan menyokong konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, meskipun kerajaan berdepan peningkatan perbelanjaan subsidi serta perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Selain itu, Moody’s mengiktiraf kekuatan institusi eksekutif dan perundangan Malaysia, rekod penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, keadaan pembiayaan domestik yang menggalakkan serta kestabilan makroekonomi yang menyeluruh. Tinjauan Stabil pula mencerminkan risiko yang seimbang terhadap profil kredit negara, dengan prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan konsolidasi fiskal yang lebih pantas berpotensi meningkatkan hasil kerajaan serta mengurangkan beban hutang.
MOF turut memaklumkan petunjuk ekonomi semasa menunjukkan asas ekonomi negara terus mengukuh apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku pertama 2026, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad, dengan jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 juta orang dan 48,500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tersebut.
Pada masa sama, Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, kedudukan tertinggi sejak 2020, selain mengekalkan tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi. Nilai ringgit juga mengukuh 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang 2025, menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia bagi tahun berkenaan.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus mencapai objektif fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 melalui usaha memperluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh ketelusan fiskal serta menambah baik penyasaran subsidi demi melindungi kebajikan rakyat.










