MELAKA: PKR Melaka menegaskan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diketuai DAP untuk menarik diri daripada kerajaan negeri bukan pendirian yang dipersetujui secara bersama oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Melaka.
Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, walaupun parti itu menghormati pendirian yang diambil DAP, keputusan berkenaan tidak pernah dibincang atau dipersetujui di peringkat gabungan.
“PKR menghormati pendirian mereka, namun keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri bukanlah keputusan yang telah dipersetujui secara bersama di peringkat kepimpinan PH Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan yang berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran serta pembangunan negeri.
Terdahulu, Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan empat Adun DAP bersama seorang Adun Amanah akan berperanan sebagai blok pembangkang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Adun lantikan.
Pindaan itu diluluskan bagi membolehkan sehingga tujuh Adun lantikan diwujudkan dalam DUN Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini mempertahankan langkah berkenaan dengan menjelaskan pelantikan Adun lantikan bertujuan melengkapkan komposisi DUN melalui penyertaan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan pandangan dalam pelbagai bidang.
Bagaimanapun, Khoo berpandangan Adun lantikan tidak seharusnya diberikan kuasa untuk mengambil bahagian dalam persidangan serta mengundi di Dewan Undangan Negeri.
Mengulas lanjut, Adam berkata perbezaan pandangan berhubung pelaksanaan Adun lantikan perlu ditangani secara matang dengan berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban, integriti dan semangat demokrasi.
Menurutnya, ruang perbincangan antara parti-parti dalam PH perlu terus dibuka bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara kolektif demi kepentingan rakyat Melaka.
“Ruang perbincangan perlu terus dibuka supaya setiap keputusan dapat dicapai secara matang, bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.










