KUALA LUMPUR: Lotus’s Malaysia mengesahkan tindakan tatatertib telah dikenakan terhadap pihak yang terbabit susulan insiden membabitkan seorang wanita sarat hamil yang didakwa dituduh mencuri ketika membeli-belah di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor.
Dalam satu kenyataan, syarikat peruncitan itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas siasatan dalaman selesai dijalankan berhubung kejadian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Lotus’s, hasil siasatan mendapati cara insiden itu dikendalikan tidak mencapai standard layanan pelanggan yang ditetapkan syarikat, selain gagal memenuhi jangkaan pelanggan terhadap mutu perkhidmatan mereka.
Sehubungan itu, pihaknya menzahirkan permohonan maaf kepada pelanggan terbabit, isterinya serta seluruh ahli keluarga atas pengalaman yang dilalui.
“Tiada pelanggan sepatutnya berdepan situasi seperti ini ketika membeli-belah di premis kami. Kami amat kesal dengan apa yang berlaku dan telah menghubungi keluarga berkenaan secara terus sebagai usaha memulihkan kepercayaan mereka,” menurut kenyataan itu.
Lotus’s turut memaklumkan pihaknya sedang memperkukuh garis panduan operasi, prosedur kerja serta latihan kakitangan bagi memastikan setiap pelanggan dilayan dengan lebih profesional, sekali gus mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Pada masa sama, syarikat itu melahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai gangguan peribadi dan ugutan dalam talian yang didakwa diterima oleh pekerja serta ahli keluarga mereka susulan insiden tersebut.
Justeru, Lotus’s menggesa orang ramai supaya menghormati privasi, maruah dan kesejahteraan semua individu yang terbabit, selain membenarkan isu itu diselesaikan secara berhemah dan penuh ihsan.
Menurut syarikat itu lagi, kejadian berkenaan menjadi peringatan penting mengenai keperluan melayan setiap pelanggan dengan empati, hormat dan bermaruah.
Lotus’s menegaskan komitmennya untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan serta mengambil pengajaran daripada insiden itu demi mengekalkan kepercayaan pelanggan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, mendakwa isterinya yang berusia 23 tahun dan sedang sarat hamil diarahkan berdiri kira-kira 20 minit selepas dituduh menyembunyikan barangan di dalam pakaian ketika membeli-belah di pasar raya berkenaan.
Beliau turut mempertikaikan tindakan penyelia premis yang mengendalikan situasi tersebut.










