Tinggalkan Sikamat, Aminuddin Sasar Tawan Kubu Kuat BN Di Linggi

KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan keputusan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dibuat bagi memperkukuhkan peluang PH merampas kawasan yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Linggi bukanlah kerusi yang mudah dimenangi kerana BN tidak pernah tewas di kawasan berkenaan, malah PKR sendiri pernah mencuba nasib di situ namun gagal memperoleh kemenangan.

Beliau berkata, keputusannya berpindah ke Linggi adalah bagi memastikan PH mampu mencipta kemenangan di kawasan tersebut, selain memberi peluang untuk berkhidmat kepada penduduk di sana.

“Ini bukan kerusi selamat, sebaliknya kubu kuat BN. Saya bertanding di situ kerana mahu memastikan kita dapat menawan kerusi itu. PKR pernah bertanding di sana sebelum ini tetapi tewas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan yang disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Pilah pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Sikamat yang terus memberikan kepercayaan kepadanya sejak beliau memenangi kerusi berkenaan pada 2008.

Beliau mengakui terhutang budi kepada penduduk Sikamat yang sentiasa menyokong perjuangan PH sejak era Pakatan Rakyat dan yakin sokongan itu akan diteruskan kepada calon baharu yang diketengahkan gabungan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Politik beliau, Nor Azman Mohamad yang diumumkan sebagai calon PH bagi DUN Sikamat mengakui tanggungjawab menggantikan Aminuddin bukan sesuatu yang mudah memandangkan Menteri Besar itu telah meletakkan penanda aras tinggi sepanjang empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Katanya, beliau berazam meneruskan segala usaha dan khidmat yang telah dilaksanakan Aminuddin, termasuk memastikan kebajikan penduduk Sikamat terus diberi perhatian sekiranya diberi mandat pada PRN nanti.

Nor Azman yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, walaupun Sikamat dianggap kubu kuat PH, mempertahankan kerusi itu dalam suasana politik semasa tetap menjadi cabaran besar.

Beliau bertekad untuk turun bertemu seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan kesinambungan agenda pembangunan serta perkhidmatan yang telah dibawa Aminuddin demi memastikan Sikamat terus kekal di bawah PH.

BBerkaitan

Latest articles