KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diteruskan seperti dijadualkan dari 14 hingga 17 Januari 2026, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu mengambil kira kelonggaran khas kepada perwakilan dari Sabah berikutan pertindihan tarikh dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri berkenaan.
Menurutnya, perwakilan Sabah dibenarkan memilih sama ada hadir secara fizikal atau menyertai persidangan secara dalam talian sepanjang tempoh kempen PRK.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Produk dan Perkhidmatan Inovasi Tinggi di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda, hari ini.
Mengulas sentimen politik semasa, Asyraf Wajdi menegaskan isu pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) perlu dinilai secara menyeluruh dan tidak dieksploitasi dengan permainan sentimen perkauman.
Tambahnya, Barisan Nasional kekal menegaskan keperluan memastikan kebajikan serta hak Bumiputera di bandar terus terpelihara, selaras dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan Wilayah Persekutuan tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri dan akan diteliti rapi oleh semua pihak berkepentingan.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menggesa semua pihak memberi keutamaan kepada pengurusan bencana banjir yang sedang melanda negara, khususnya di Pahang, yang dijangka turut memberi kesan kepada negeri lain.
Katanya, fokus utama ketika ini ialah penyaluran bantuan segera dan kebajikan mangsa, bukannya memanjangkan polemik politik.










