LEDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan bakal menerima bayaran berjumlah RM1.8 bilion daripada Kerajaan Negeri Sarawak hasil rundingan muhibah berhubung isu pemulangan hak pelabuhan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menegaskan bahawa dana besar yang diterima daripada bumi Kenyalang itu tidak hanya diperuntukkan untuk Sarawak, sebaliknya akan diagihkan demi manfaat rakyat di seluruh negara termasuk Johor.
​”Premier Sarawak, Abang Johari (Tun Openg) bersetuju untuk Kerajaan Sarawak bayar kepada Kerajaan Malaysia RM1.8 bilion.
“Saya memutuskan dan mengumumkan dan menerima cek untuk rakyat Malaysia RM1.8 bilion untuk semua negeri termasuk negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam tadi.
​Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, rundingan berkenaan melibatkan penyerahan semula hak urusan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri itu setelah sekian lama tertangguh.
Menurut beliau, kejayaan rundingan tersebut membuktikan impak positif sekiranya wujud hubungan dan kerjasama yang erat serta matang di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
​”Kita runding dengan baik, sebab apa boleh begitu? Kerana Kerajaan Negeri Sarawak baik dengan Kerajaan Persekutuan. Ini dia, kita runding dengan baik,” tambah beliau bagi menggambarkan kaedah pengurusan tadbir urus di bawah Kerajaan Madani yang mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan menyeluruh negara.










