“Amboi… Baru Exco, Kamu Belajar Ekonomi Dari Mana Ni?”, Sindir Anwar

​LEDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang secara terbuka mengkritik beliau berhubung kaedah pengurusan ekonomi dan pengagihan dana persekutuan kepada negeri itu.

Selain menyindir, Anwar turut mempersoal kelayakan individu terbabit yang mendakwa Kerajaan Persekutuan mengutip hasil berbilion ringgit dari Johor tanpa memulangkannya semula.

​”Tapi Exco, amboi baru Exco… ‘Ini bukan PM ini tak tahu urus negara, ambil wang daripada Johor tak bagi balik kepada Johor’.

“Eh, eh, eh… kamu belajar ekonomi di mana ini?” katanya membidas dakwaan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.

Isu agihan dana Johor tercetus susulan kenyataan Anwar yang menyifatkan Johor sebagai negeri kaya namun berdepan masalah “kebocoran” akibat isu tatakelola.

Kenyataan itu kemudian mengundang pelbagai kritikan dan reaksi balas termasuk daripada pihak pentadbiran Johor yang membangkitkan fakta bahawa Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada hasil persekutuan, namun mendakwa hanya menerima sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion sebagai pulangan semula bagi pembangunan.

Hal itu mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang kemudiannya memberi teguran terbuka terhadap Kerajaan Persekutuan apabila mendakwa Johor tidak menerima pulangan hasil yang setimpal meskipun menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

Menurut baginda, jika benar berlaku ‘kebocoran’, ia bukan berpunca daripada negeri semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan sistem pengagihan hasil yang didakwa tidak memihak kepada Johor.

​Mengulas lanjut mengenai kritikan Exco terbabit yang menggunakan naratif berkenaan untuk menyerang pentadbiran pusat, Anwar meminta semua pihak melihat kepada lembaran fakta sebenar dan bukannya bermain sentimen.

Beliau turut membandingkan pemahaman politik tempatan dengan kebijaksanaan rakyat marhaen yang disifatkannya lebih celik fakta.

​”Ni, turun ke Tangkak tanya ini… Orang ini kadang-kadang lebih cerdik daripada satu dua orang yang bercakap panjang ini. Look at the facts (Lihat pada fakta),” tegas beliau.

​Anwar menambah, sebarang isu tadbir urus dan kekangan kewangan yang timbul pada masa kini seharusnya diteliti secara objektif dan bukannya dijadikan modal politik oleh pemimpin negeri untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap Kerajaan Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles