PM Jamin Agihan Pembangunan Johor Yang Saksama, Rapatkan Jurang Daerah

LEDANG: Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menegaskan komitmennya untuk memastikan tiada jurang pembangunan yang ketara antara kawasan bandar utama seperti Johor Bahru dengan kawasan luar bandar dan daerah lain di negeri ini.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan peruntukan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah Kerajaan Madani sentiasa berpaksikan prinsip keadilan bagi memastikan seluruh rakyat Johor menikmati kemakmuran ekonomi secara saksama.

​Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menjelaskan bahawa peruntukan keseluruhan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan untuk Johor telah ditingkatkan secara mendadak kepada 8.7 bilion di bawah pentadbiran semasa, berbanding sekitar 6 bilion hingga 7 bilion oleh kerajaan terdahulu.

​”Kita mahu Johor Bahru maju, tetapi pada masa yang sama Tangkak, Muar, Mersing dan Pontian juga perlu diangkat.

“Jika tidak, jurang antara kawasan ini akan menjadi terlalu jauh dan golongan miskin akan terus terpinggir. Inilah perbezaan pendekatan Kerajaan Madani,” katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Ledang, malam ini.

​Mengulas mengenai hubungan antarabangsa dan ekonomi, Anwar turut berkongsi kejayaan rundingan diplomatik global termasuk kelulusan khas daripada Presiden Iran yang membenarkan kapal dagang Malaysia dan Petronas melepasi Selat Hormuz yang sedang mengalami konflik.

​”Hubungan baik kita dengan negara luar seperti Iran, Arab Saudi, Turkiye dan China bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk memastikan kelangsungan ekonomi dan keselamatan rakyat Malaysia,” tambah beliau.

​Anwar turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memperlekehkan usaha kerajaan, termasuk isu kenaikan gaji penjawat awam yang disifatkannya sebagai langkah tertinggi dalam tempoh 13 tahun demi memartabatkan kebajikan pekerja sektor awam.

BBerkaitan

Latest articles