LEDANG: Seramai lapan calon wanita daripada keseluruhan 17 kerusi akan diketengahkan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, awal bulan depan.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook menyifatkan ia satu manifestasi jelas parti dalam usaha memperkasakan peranan serta kepimpinan wanita di peringkat pembuat dasar.
Menurutnya, PH mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan pemimpin wanita yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab dengan berkesan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
”Daripada 17 calon DAP, lapan adalah merupakan calon wanita. Kita sama-sama memperkasakan peranan wanita. Kita mempunyai keyakinan kepada kemampuan pemimpin-pemimpin wanita,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.
Majlis pengumuman senarai calon berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut mengenai profil calon yang ditampilkan, Loke menjelaskan gabungan tersebut turut mempamerkan keseimbangan yang dinamik menerusi gandingan muka baharu, pemimpin muda dan tokoh berpengalaman.
Beliau mendedahkan purata umur bagi kesemua calon DAP yang bertanding adalah 40 tahun, dengan calon termuda berusia 28 tahun manakala calon paling senior berumur 54 tahun.
”Kita adalah satu kombinasi dalam Pakatan Harapan ini, ada yang berpengalaman, ramai yang ada kredibiliti yang tinggi, dan juga kita bagi peluang kepada mereka daripada anak muda,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Loke turut menegaskan bahawa PH bersedia sepenuhnya untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi menghadapi saingan sengit pada pilihan raya kali ini demi memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan tersebut.










