“Berapa Parti Yang Nak Lawan, Silakan, PH Sedia Hadap” – Mat Sabu

LEDANG: Pakatan Harapan (PH) menegaskan komitmennya untuk mengekalkan persaingan politik yang sihat berteraskan dasar ‘parti lawan parti’ tanpa melibatkan institusi atau pihak yang tidak sepatutnya diheret ke gelanggang politik.

Hal itu ditegaskan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamad Sabu sambil berkata landasan demokrasi di Malaysia perlu dihormati oleh semua pihak bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

​”Biarkan parti lawan parti. Bukan parti nak berlawan dengan orang yang tak boleh kita berlawan. Kalau gelanggang ini dibuka (kepada pihak lain), ia membahayakan kepada Malaysia.

​”Kekalkan perlawanan antara parti dengan parti. Berapa parti yang ada nak lawan kita, silakan, kita hadap,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.

​Majlis pengumuman barisan calon tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Kenyataan Mohamad itu yang juga Presiden Amanah, dipercayai merujuk kepada kritikan terbuka daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai proses pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen, Mohamad mengakui rundingan tersebut sentiasa mencabar kerana setiap parti berpandangan mereka mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di sesuatu kawasan.

​Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu merupakan lumrah dalam proses demokrasi gabungan politik dan apa yang penting ialah fokus untuk mendepani pilihan raya.

​”Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu tak menjadi persoalan. Kita menang pun tak apa, mereka kalah pun tak apa, tetapi mesti parti lawan parti,” katanya lagi.

​PRN Johor Ke-16 kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit dalam usaha PH untuk mempertahankan serta melebarkan penguasaan kerusi di negeri selatan tanah air itu.

BBerkaitan

Latest articles