Kes Mayat Dalam Beg: Suspek Dicekup Kurang 12 Jam

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita yang ditemui di dalam beg dan ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni berhampiran Kampung Batu 4, Pedas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Idzam Jaafar, berkata suspek berusia 41 tahun itu diberkas sekitar jam 2.30 petang di Melaka, kurang 12 jam selepas penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya, susulan laporan penemuan mayat di bahagian belakang rumah terbabit, polis segera menggerakkan pasukan risikan bagi menjejaki individu disyaki.

Hasil siasatan pantas membawa kepada penahanan suspek di Melaka sebelum dia dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin pagi tadi.

Mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 25 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Idzam berkata, proses bedah siasat sedang dijalankan di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa serta punca kematian.

Buat masa ini, polis menunggu laporan penuh bedah siasat dan proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum meneruskan siasatan terperinci berhubung hubungan antara suspek dan mangsa.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, laporan BERNAMA memetik polis memaklumkan suspek dipercayai mengenali mangsa, namun penglibatan langsungnya masih dalam siasatan.

Lelaki berkenaan juga didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah, selain polis tidak menolak kemungkinan wujud individu lain yang turut terlibat.

Terdahulu, media melaporkan mayat wanita yang ditemui itu disyaki berkait dengan laporan orang hilang di Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid, sebelum ini mengesahkan laporan kehilangan membabitkan Suri Narudin, 53, diterima daripada ibu saudaranya selepas wanita itu gagal dikesan sejak 8 Disember lalu.

Kes berkenaan turut mencuri perhatian ramai selepas rakaman video penyanyi Mac Ruhayu tular di media sosial merayu bantuan orang ramai bagi mengesan rakan rapatnya itu.

BBerkaitan

Latest articles