TDM Tumpas Cubaan Seludup Dadah Bernilai Lebih RM10 Juta di Kedah

KUALA NERANG, – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM10.923 juta dalam satu operasi keselamatan di kawasan sempadan negara, awal pagi semalam.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan itu dicapai menerusi Kumpulan Serbuan dan Tangkapan (SERKAP) 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang melaksanakan Operasi KOTA/B/C/D dan Pagar II Siri 6/2025 di bawah kawalan Briged Ke-6 Infantri Malaysia.
Menurut kenyataan itu, operasi yang dijalankan pada 9 Disember 2025, kira-kira jam 4.30 pagi telah menahan seorang lelaki warga Thailand dalam keadaan mencurigakan di lokasi kira-kira 1.2 kilometer dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap suspek mendapati individu berkenaan membawa sebuah walkie-talkie, sebilah parang, satu beg pinggang dan sebuah lampu suluh,” menurut kenyataan itu.
Susulan penahanan berkenaan, pasukan SERKAP menjalankan pemeriksaan lanjutan pada jam 7 pagi setelah keadaan cerah dengan menggeledah laluan yang digunakan suspek dan menemukan sembilan guni mengandungi bungkusan kecil menyerupai peket beras.

Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bungkusan tersebut mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine berbentuk ketulan dan serbuk, sebanyak 331 bungkusan seberat satu kilogram setiap satu, dengan nilai anggaran RM33,000 bagi setiap peket.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM10.923 juta dan merupakan rampasan terbesar sepanjang tahun ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Suspek bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada jam 2.55 petang, hari yang sama untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhammad Hafizuddeain bin Jantan merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan SERKAP 4 RRD atas kejayaan berkenaan serta mengarahkan agar tahap kesiapsiagaan dipertingkatkan, termasuk mempergiat rondaan berterusan di semua kawasan tanggungjawab sepanjang sempadan negara.

BBerkaitan

Latest articles