KUALA LUMPUR: Safiudeen, warga India yang kisah hidupnya tular selepas menjadi mangsa dera di hadapan sebuah bank, akhirnya dihantar pulang ke negara asalnya pada 2 Disember 2025 (waktu tempatan).
Nama Safiudeen mula mendapat perhatian seluruh negara apabila video menunjukkan dirinya disembur air dan ditendang beredar luas di media sosial.
Insiden menyayat hati itu mendorong seorang individu bernama Lian tampil menyelamatkannya sebelum membawa lelaki tersebut ke sebuah pusat perlindungan.
Safiudeen, yang berasal dari Tamil Nadu, dilaporkan datang ke Malaysia pada Mac 2024 bagi mencari pekerjaan sebagai tukang masak di Sri Gombak.
Namun, hasratnya membina kehidupan baharu musnah apabila dia mendakwa majikannya menahan pasport serta tidak membayar gaji selama beberapa bulan, menyebabkan dia akhirnya hidup melarat di jalanan.
Prihatin dengan nasibnya, Lian bersama kumpulan sukarelawan lain menggerakkan usaha mengumpul dana untuk membantunya memulakan semula kehidupan di India.
Dana tersebut kemudian disalurkan kepada Safiudeen melalui Suruhanjaya Tinggi India sebelum proses penghantarannya diputuskan.
Safiudeen kini selamat kembali ke kampung halamannya dengan sokongan masyarakat yang tersentuh dengan penderitaan yang dialaminya.










