Anwar Tegas Tolak Naik Harga Minyak, Kerajaan Tanggung Subsidi Demi Rakyat

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menaikkan harga minyak walaupun negara pernah berdepan lonjakan kos akibat krisis bekalan global.

Menurut beliau, kerajaan memilih untuk terus menanggung beban subsidi bahan api yang mencecah berbilion ringgit setiap bulan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga pasaran dunia.

Katanya, ketika harga minyak berada pada paras tinggi, kerajaan terpaksa memperuntukkan antara RM3 bilion hingga RM7 bilion sebulan bagi mengekalkan subsidi, manakala ketika ini jumlah tambahan yang ditanggung masih berada sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion setiap bulan.

“Jika kerajaan membelanjakan RM3 bilion sebulan selama 10 bulan, jumlahnya sudah mencapai RM30 bilion. Namun kita tetap berusaha menanggung kos tersebut,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program Himpunan Rakan Muda MADANI di Sungai Petani hari ini.

Anwar berkata, kemampuan kerajaan mengekalkan subsidi itu adalah hasil langkah penjimatan yang dilaksanakan secara berterusan selain usaha membanteras ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.

Beliau turut menolak pandangan segelintir pihak yang mencadangkan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai subsidi minyak, sambil menegaskan pendekatan berhutang hanya akan memindahkan beban kepada generasi akan datang.

“Kalau mahu, saya boleh berhutang sekarang, tetapi akhirnya anak-anak kita yang perlu membayarnya. Sebab itu kerajaan memilih untuk melakukan apa yang termampu tanpa menambah hutang negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, sekali gus menjadikannya antara harga bahan api paling rendah di dunia.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan Dewan Serbaguna Padang Awam Taman Keladi sebagai usaha meningkatkan kemudahan komuniti setempat.

Turut hadir pada program berkenaan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul serta Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.

BBerkaitan

Latest articles