Muncul Mengejut Di Pelancaran Jentera BN Johor, Noh Omar Umum Tinggalkan Bersatu

ISKANDAR PUTERI: Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tan Sri Noh Omar mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan mengejut pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, hari ini.

​Kemunculan beliau sekali gus menjawab teka-teki mengenai status politiknya apabila secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu demi kembali kepada UMNO.

​Noh mendedahkan, keputusan besar itu dibuat selepas beliau melakukan solat istikarah dan melihat ketegasan serta prinsip politik yang dipegang oleh UMNO Johor, khususnya dalam isu kerjasama melibatkan DAP.

​”Saya mencari alasan untuk menghidupkan kembali perjuangan diri, dan selepas istikarah, saya kembali balik kepada UMNO dan BN.

​”Saya datang ke Johor hari ini kerana jelas, perjuangan UMNO Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP. Saya amat menghormati kepimpinan dan prinsip mereka,” katanya ketika ditemui pihak media.

​Mengulas lanjut, Noh berkata atas dasar menghormati prinsip itu juga, beliau mengambil keputusan untuk tidak turun berkempen bagi pihak Perikatan Nasional (PN) sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota sebelum ini, meskipun menerima jemputan rasmi.

​Beliau turut menyatakan keyakinan penuh bahawa prinsip menolak DAP ini akan terus dipertahankan oleh UMNO Johor sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

​”Hari ini, ucapan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) sekali lagi menekankan bahawa UMNO Johor tidak akan bersama dengan DAP. Sebab itulah saya kembali.

​”Malah bagi saya, jika selepas ini UMNO dapat kembali bekerjasama dengan Pas, kedua-dua parti ini mampu menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu dan menubuhkan kerajaan tanpa memerlukan parti-parti lain,” ujarnya lagi.

​​Ditanya mengenai punca utama beliau bertindak keluar daripada Bersatu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menjelaskan bahawa parti berkenaan kini sudah jauh tersasar daripada prinsip asal penubuhannya.

​Noh melahirkan rasa kecewa terhadap pengurusan tertinggi Bersatu yang didakwanya membelakangkan keputusan yang telah dicapai secara konsensus di peringkat MPT.

​”Perjuangan Bersatu jauh berbeza dengan UMNO. Kita berpolitik mesti ada prinsip. Sebagai contoh, MPT Bersatu sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan disiplin kepada ahli-ahli tertentu.

​”Namun, apa yang berlaku selepas itu, mereka (kepimpinan) tidak menghormati keputusan MPT sendiri dan tetap meneruskan tindakan disiplin. Apabila keputusan parti tidak dihormati, saya lihat perjuangan ini sudah hilang prinsip,” tegasnya.

​Beliau menambah, pengisytiharan peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu dibuat secara automatik membawa maksud beliau kini bukan lagi ahli parti berkenaan dan tidak perlu menghantar surat rasmi.

​Sementara itu, menyentuh mengenai status anaknya, Nurul Syazwani yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang bagi kuota Bersatu, Noh mengambil sikap berhati-hati.

​”Mengenai beliau (Nurul Syazwani), kita tunggu dan lihat dahulu sebab dia masih memegang status sebagai ADUN Bersatu,” katanya ringkas.

BBerkaitan

Latest articles