JOHOR BAHRU: DAP mengesahkan akan memperluaskan saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dengan menyasarkan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 14 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri 2022.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, parti itu berhasrat mempertahankan kesemua 10 kerusi yang dimenangi sebelum ini, selain berusaha merampas semula empat kerusi yang tewas pada pilihan raya lalu.
Menurutnya, DAP juga akan melebarkan pengaruh dengan bertanding di tiga kerusi baharu yang belum pernah ditandingi parti itu sebelum ini.
“Saya boleh mengesahkan DAP akan bertanding di 17 kerusi pada PRN Johor akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran dokumentari khas perjalanan DAP Wilayah Persekutuan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan terdapat satu lagi kerusi tambahan yang hampir dimuktamadkan, namun masih tertakluk kepada rundingan bersama rakan komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu PKR dan Amanah.
Pada PRN Johor 2022, DAP muncul parti paling berjaya dalam PH apabila memenangi 10 daripada 14 kerusi yang ditandingi.
Empat kerusi yang gagal dipertahankan ialah Bekok, Yong Peng, Paloh dan Pekan Nanas yang dimenangi MCA.
Dalam perkembangan sama, Loke menepis dakwaan bahawa kontroversi melibatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim boleh menjejaskan sokongan terhadap DAP, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Beliau menegaskan tiada mana-mana individu yang lebih besar daripada parti yang telah bertapak selama enam dekad dan berjaya mengharungi pelbagai cabaran politik.
“DAP telah wujud selama 60 tahun. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti tetap kekal. Kami adalah parti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Loke turut menegaskan bahawa kedudukan seseorang sebagai wakil rakyat atau menteri diperoleh menerusi platform parti, bukannya bergantung kepada kekuatan individu semata-mata.
Justeru, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pengunduran atau tindakan seorang pemimpin mampu menggugat kekuatan serta masa depan DAP.
Katanya, walaupun parti itu akan terus berdepan cabaran politik dari semasa ke semasa, beliau yakin DAP mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengatasinya menjelang PRN Johor akan datang.










