TAPAH: Pendaki wanita yang hilang selama 15 hari di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, sempat menemui dua nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) beberapa hari sebelum dia berjaya ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.
Pesanan yang ditulis pada dua helaian kertas itu mengandungi rayuan supaya Jaslinda kekal berada di satu lokasi bagi memudahkan usaha pencarian.
Antara kandungan nota berkenaan ialah, “Kak Jas please stay satu tempat. Orang ramai mencari akak. – Hafiz” serta “Kak Jas semua orang tengah cari akak. Minta stay di satu tempat. Hari Ke-7.”
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nota tersebut diserahkan sendiri oleh Jaslinda kepada pihak bomba selepas dia ditemukan semalam.
Menurut beliau, pesanan itu ditinggalkan oleh seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) dikenali sebagai Hafiz ketika menjalankan operasi pencarian di kawasan Kem Air Busuk pada 30 Mei lalu.
“Nota tersebut ditinggalkan semasa operasi SAR yang memfokuskan laluan dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk pada hari berkenaan. Namun, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Jaslinda dipercayai hanya tiba di lokasi itu sekitar 5 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jaslinda sebelum ini menyertai ekspedisi pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ bersama 13 peserta lain dan dua MGP pada awal pagi 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih hingga Kuala Woh.
Ketika pendakian berlangsung, seorang peserta lelaki dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat bersama seorang MGP serta Jaslinda.
Bagaimanapun, wanita itu yang dipercayai mengalami kesakitan pada kaki meneruskan perjalanan secara bersendirian menuju ke puncak Gunung Batu Putih pada 24 Mei.
Menurut MGP terbabit, itulah kali terakhir Jaslinda dilihat sebelum dilaporkan hilang kira-kira jam 7.30 pagi hari yang sama.
Selepas lebih dua minggu operasi SAR dijalankan, Jaslinda akhirnya ditemukan selamat berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 3 petang pada Sabtu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah pada jam 9.20 malam bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.










