ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan senarai penuh calon gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam masa terdekat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa proses saringan dan penilaian calon kini berada di peringkat akhir sebelum pengumuman rasmi dibuat kepada umum.
Menurut beliau, pemilihan calon kali ini akan dilakukan dengan penuh teliti bagi memastikan mereka yang dicalonkan benar-benar mampu membawa kemenangan serta diterima oleh masyarakat setempat.
”Kita akan memuktamadkan senarai calon BN bagi PRN Johor ini dalam masa yang terdekat,” katanya ringkas ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa BN komited untuk mengembalikan semula penguasaan penuh di negeri selatan tanah air itu dengan mempertaruhkan gandingan strategik antara pemimpin berpengalaman dan juga pelapis muda.
Langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik di Johor dapat diteruskan di bawah agenda Maju Johor 2030 yang sedang dipacu oleh kerajaan negeri ketika ini.
”Insya-ALLAH dengan adanya gandingan orang-orang lama dan orang-orang baharu, kita akan kembalikan semula negeri Johor sebagai tapak penyatuan negara bangsa,” ujarnya.
Keputusan memuktamadkan calon ini menyusul selepas BN Johor secara rasmi mengumumkan pendirian untuk bergerak secara solo tanpa kerjasama dengan pihak lawan di peringkat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengesahkan bahawa gabungan itu telah mendapat lampu hijau daripada pucuk pimpinan tertinggi untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Suhu politik di Johor mula melonjak tinggi menjelang hari penamaan calon selepas DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 1 Jun lepas.
Sehari sebelum pelancaran jentera BN hari ini, gabungan Pakatan Harapan (PH) Johor terlebih dahulu menggerakkan jentera pilihan raya mereka di Batu Pahat yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam semalam.










