PTD Yang Ditahan Di Sauna Songsang Diarah Letak Jawatan Serta-Merta

KUALA LUMPUR: Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang bertugas di pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diarahkan meletak jawatan serta-merta selepas ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat sauna di Chow Kit, yang disyaki menjadi lokasi aktiviti seksual songsang.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebaik dimaklumkan polis mengenai penahanan pegawai berkenaan, Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera memulakan siasatan dalaman bagi tindakan tatatertib mengikut peraturan perkhidmatan awam.

“Kementerian tegas, tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dan tatakelola. Sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas Unit Integriti melengkapkan siasatan serta mendapat kerjasama penuh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mustapha turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Serbuan pada Sabtu lalu menyaksikan 201 lelaki ditahan, termasuk 17 penjawat awam terdiri daripada doktor bedah, timbalan pendakwa raya, PTD, guru dan pegawai penguat kuasa. Polis percaya premis berkenaan beroperasi hampir setahun dan menjadi lokasi lelaki bertemu serta bertukar pasangan untuk kegiatan tidak bermoral.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus turut mengesahkan bahawa 171 lelaki tempatan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan, selepas permohonan reman ditolak majistret kerana dihantar lewat akibat jumlah tangkapan yang terlalu ramai.

Operasi seterusnya kini tertumpu kepada pemilik premis serta penganjur aktiviti berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles