KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan pembangkang bahawa beliau sepatutnya memecat lebih awal bekas Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berhubung surat sokongan yang ditulis untuk kontraktor projek hospital.
Anwar menegaskan, permohonan berbentuk “pertimbangan” bukan alasan untuk memecat mana-mana pegawai, kerana ia bukan satu arahan atau bentuk pengaruh yang boleh menjejaskan proses kelulusan.
Katanya, pembangkang tidak wajar menjadikan isu itu sebagai modal politik di Dewan Rakyat.
Sebaliknya, Anwar mendakwa terdapat kes lebih serius membabitkan dua kerajaan negeri pembangkang di Kelantan dan Terengganu, yang didakwanya pernah mengeluarkan surat arahan untuk meluluskan permohonan tertentu.
“Ini hipokrasi. Surat minta pertimbangan dijadikan isu besar, tetapi surat arahan daripada exco negeri langsung tak disebut,” tegas beliau semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk ketika Shamsul ditahan reman dan digari seperti suspek lain.
“Saya tidak lindungi sesiapa. SPRM bebas siasat, saya tidak tegur walau sepatah,” katanya sambil menempelak pembangkang yang menurutnya sering mempertahankan individu tertentu demi kepentingan sendiri.
Beliau turut menyentuh kes lain termasuk siasatan terhadap tokoh politik veteran Tun Daim Zainuddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menurutnya sering dijadikan bahan bela oleh blok pembangkang.
“Kalau sudah mencuri, tua atau muda bukan alasan. Parlimen ini bukan tempat melindungi perasuah,” tegas Perdana Menteri.
Shamsul sebelum ini ditahan reman sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes rasuah.










