LAHAD DATU: Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul tampil menepis dakwaan kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) ‘mengemis’ untuk berada dalam Kabinet Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, tanggapan tersebut tidak berasas sama sekali memandangkan UMNO dan BN memiliki peranan penting sebagai kingmaker dalam pembentukan kerajaan yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, semua blok politik di Sabah ketika ini sebenarnya memerlukan sokongan UMNO dan BN bagi memastikan kerajaan stabil pasca Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Sharif Musa menegaskan, kemenangan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh BN sudah cukup meletakkan parti itu pada posisi strategik untuk menentukan arah pembentukan kabinet negeri.
“Jangan menghembat BN sehingga rotan hancur. Kami tiada rotan, tapi kami ada akar yang sama sakit apabila digunakan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut berpendapat bahawa Hajiji sendiri tidak akan menawarkan kerjasama jika memiliki jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa BN.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan sesetengah pihak yang mempertikai penerimaan sokongan BN oleh Gagasan Rakyat Sabah (GRS) walaupun kedua-dua parti bertembung pada PRN-17 yang menyaksikan BN hanya memenangi enam daripada 45 kerusi ditandingi.
Dalam Kabinet Sabah yang diumumkan semalam, ADUN BN Sukau, Datuk Jafry Ariffin turut dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, mengukuhkan lagi kehadiran BN dalam kerajaan negeri tersebut.










