KOTA BHARU: Polis mengesahkan motif cemburu menjadi punca utama seorang wanita maut selepas ditikam suaminya dalam kejadian tragis di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak dalam keadaan terlalu marah selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Ujian air kencing menunjukkan suspek bebas dadah dan pihak polis turut mengesahkan lelaki berusia 63 tahun itu tidak mempunyai rekod masalah mental serta kini menganggur.
“Mangsa ditikam sekali di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa, Mastura Abdullah, 40, dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam di rumah mereka sebelum suspek bertindak meninggalkan lokasi untuk mengambil anak di sekolah pada jam 12 tengah hari.
Dua jam selepas kejadian, suspek hadir ke balai polis untuk menyerah diri.
Polis kini meneruskan siasatan terperinci bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung pembunuhan kejam tersebut.










