Suami Tikam Isteri Hingga Maut Direman 6 Hari

TANAH MERAH: Seorang lelaki berusia 63 tahun yang dipercayai menikam isterinya sehingga maut di Kampung Paku, Gual Ipoh pada Isnin telah direman enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini pada Selasa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek tiba di Mahkamah Majistret sekitar jam 9.25 pagi dengan memakai baju lokap ungu, kelihatan tenang dan berkaca mata ketika dibawa menaiki kenderaan polis.

Mangsa, Mastura Abdullah, 40, yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang badan.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu, suspek dikatakan hadir sendiri ke Balai Polis Gual Ipoh kira-kira tiga jam kemudian untuk menyerah diri.

Pasangan berkenaan telah berkahwin selama 14 tahun dan mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

Mayat Mastura dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum dikebumikan pada jam 7 pagi Selasa di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku.

BBerkaitan

Latest articles