“Saya buat kek lapis dekat rumah je… tapi pasar raya kata tak boleh masuk sebab tak ada sijil halal.”
Ini antara keluhan biasa dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (SME) yang cuba mengembangkan perniagaan tetapi tersekat kerana belum memiliki pengesahan halal.
Ada juga yang bertanya sama ada produk kecantikan memerlukan sijil halal, dan ada yang mengaku takut nak mohon sebab bimbang prosedur terlalu ketat atau kos terlalu mahal.
Namun, hakikatnya banyak bantuan dan inisiatif kerajaan sudah lama disediakan, cuma ramai yang tak tahu, atau tersalah anggap prosesnya rumit.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, halal sebenarnya merangkumi seluruh aspek kehidupan, bukan hanya makanan.
“Halal ini bukan soal makanan saja. Ia melibatkan ubat-ubatan, kosmetik, rawatan, dan seluruh cara hidup. Ia mesti patuh pada prinsip halal dan tayyib,” jelasnya.
Dengan permintaan pengguna Muslim yang semakin peka dan memilih, pensijilan halal kini dianggap satu keperluan dan bukan lagi pilihan.
Kenapa Ada Yang Rasa Permohonan Halal ‘Susah’?
Dhaliff Anuar dari Halal Development Corporation Berhad (HDC) menjelaskan bahawa sistem halal negara sebenarnya dibina dengan ketat sejak awal demi memastikan integriti.
“Ya, sistem kita rumit kerana ia dibina atas integriti. Tapi ia sentiasa berkembang menjadi lebih efisien,” katanya.
Ramai yang mengadu kos tinggi sebenarnya merujuk kepada penambahbaikan premis, bukan kos sijil halal itu sendiri.
Halal Trainer, Ahmad Aminurrashid, menegaskan bahawa:
“Untuk bisnes kecil, kos sijil halal hanya serendah RM100 setahun.”
Kos sampingan yang tinggi biasanya datang daripada menaik taraf dapur atau premis, pembelian peralatan sesuai dan bayaran khidmat perunding.
Antara agensi yang membantu mengurus permohonan halal termasuk:
• MARA
• TEKUN Nasional
• SME Corp (MEDAC)
Kerajaan turut menawarkan pelbagai program serta geran untuk mempercepat dan memudahkan proses permohonan.
Geran Kerajaan Termasuk:
• ROTE – bantu MSME dapatkan sijil halal
• HTDF – dana teknologi untuk pemodenan & automasi
Program Sokongan Usahawan:
• HOPE – bimbingan pembangunan produk & akses pasaran
• PuTRA – naik taraf pembungkusan, label & penjenamaan
• HTTP – bantu tingkat proses pembuatan
• PRInce – galak pendaftaran produk di pasaran luar negara
• MASSIVE – buka peluang pasaran lebih luas untuk SME
Program ini memberi latihan, bimbingan teknikal dan sokongan menyeluruh, termasuk membantu usahawan kecil memahami keperluan halal dan meningkatkan mutu produk.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, juga berkongsi kebimbangan terhadap rungutan usahawan.
“Kami cadangkan proses halal untuk usahawan kecil dipermudahkan. Kurangkan kos, mudahkan urusan klinikal dan dokumentasi.”
Beliau berkata DPMM akan terus berbincang dengan kerajaan demi memastikan usahawan Bumiputera tidak tercicir dalam pasaran halal yang semakin berkembang.
Dalam pada itu Dr. Mohd Na’im menegaskan JAKIM sentiasa terbuka membantu.
“Kami akan mudahkan, tapi prosedur mesti dipatuhi. Kita tak boleh kompromi bab integriti dan kualiti.”
Beliau menambah bahawa proses halal penting untuk menjaga kepatuhan kepada halal dan tayyib, tetapi usaha untuk mempercepatkan proses juga sentiasa ditambah baik.
Walaupun ramai usahawan SME beranggapan proses halal rumit atau mahal, hakikatnya:
• Kos sebenar sangat rendah
• Banyak geran & program percuma disediakan
• Proses semakin dipermudahkan
• Agensi kerajaan sedia membantu dari A hingga Z
Apa yang diperlukan hanyalah kesedaran, maklumat yang betul, dan keinginan untuk menambah baik operasi perniagaan sesuai dengan piawaian halal negara.










