KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) hari ini menggesa kerajaan menghentikan segera semua proses naturalisasi atlet sukan secara besar-besaran susulan kontroversi hangat melibatkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang didakwa memberi impak langsung terhadap integriti bola sepak negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kerajaan bukan sahaja perlu menangguhkan proses itu, malah melaksanakan audit penuh terhadap semua naturalisasi atlet sejak 2015, termasuk kes yang melibatkan klausa ‘keturunan’ yang kini dipersoalkan.
Menurut Jais, mekanisme verifikasi sedia ada jelas tidak mencukupi dan perlu diperketat sebelum sebarang proses naturalisasi diteruskan.
MCW turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperkenalkan standard pemeriksaan dokumen antarabangsa yang lebih ketat bagi mengelakkan manipulasi atau pemalsuan dokumen pemain naturalisasi.
Pada masa sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran mewujudkan unit integriti bebas di bawah pemantauan pihak ketiga.
“Panel siasatan bebas yang bakal ditubuhkan FAM mesti benar-benar bebas tanpa campur tangan FAM, politik atau mana-mana pihak berkepentingan,” kata Jais.
MCW turut menuntut ketelusan penuh daripada FAM, termasuk pendedahan laporan lengkap siasatan kepada umum.
Jais turut mempersoalkan bagaimana proses mengubah dokumen pemain naturalisasi boleh berlaku tanpa semakan latar belakang minimum.
Beliau mendesak FAM menjelaskan pihak mana yang mengeluarkan arahan tersebut.
“Krisis integriti sukan negara hanya dapat dipulihkan melalui keberanian mendedahkan kesalahan, bukan melindunginya. Kita tidak mahu Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana kelemahan tadbir urus,” katanya.
Menurut Jais, krisis pemain naturalisasi yang kini menjadi perhatian membuka ruang untuk reformasi menyeluruh dalam pentadbiran bola sepak negara.
Beliau menegaskan kerajaan perlu melaksanakan siasatan tanpa kompromi, manakala FAM perlu mengambil tanggungjawab secara terbuka, bukan sekadar bersifat defensif.
MCW turut menggesa KDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat elemen pemalsuan dokumen serta kemungkinan salah guna kuasa dalam proses naturalisasi.
“Malaysia mesti kembali dihormati bukan kerana keputusan di padang semata-mata, tetapi kerana moral, integriti dan kejujuran pentadbir bola sepaknya,” tegasnya.










