KOTA KINABALU: Seorang guru kaunseling dan warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Khas Koroner di Papar, Sabah semalam bahawa Zara Qairina Mahathir adalah seorang pelajar biasa suka berkawan.
Miswati Lundu yang juga saksi ke-48 inkues kematian Zara Qairina Mahathir berkata dia hanya bertemu remaja itu pada dua sesi kaunseling berkelompok pada 5 dan 14 Mac lalu, menurut Berita Harian.
Menurutnya, berdasarkan sesi itu, Zara Qairina mempunyai salah faham dengan rakannya dan tiada isu lain selain mendapati tiada tanda kemurungan atau kesedihan pada pelajar itu.
Menceritakan semula keterangan saksi itu, pasukan peguam mewakili ibu remaja itu diketuai Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan berkata, saksi memberitahu mahkamah selain dua sesi kaunseling, dia tidak pernah menerima apa-apa aduan berkaitan buli atau tekanan daripada Zara Qairina mahupun ibu bapanya.
“Menurut saksi, kedua-dua sesi kaunseling itu disebabkan aduan daripada pelajar-pelajar lain yang membuat aduan dan persepsi jahat kepada Zara.
“Dalam sesi pertama (5 Mac), saksi berkata, seorang pelajar ‘junior’ yang lain telah ‘lupa kawan’ selepas dia berkawan dengan Zara Qairina.
“Zara Qairina pula juga menjelaskan dia cuma berkawan dengan pelajar ‘junior’ itu seperti biasa,” menurut kenyataan ringkasan harian prosiding inkues itu.
Pada sesi kedua pula, saksi mendengar aduan seorang pelajar ‘junior’ mengatakan dia melihat seorang pelajar ‘junior’ membuat perkara tidak senonoh terhadap Zara Qairina.
“Namun, selepas mendengar penjelasan semua pelajar terbabit saksi mendapati aduan itu hanya persepsi dan gurauan pelajar ‘junior’ yang dituduh.
“Dalam kedua-dua sesi kaunseling, saksi memberikan nasihat kaunseling kepada semua pelajar terbabit berkenaan pemahaman diri, pengurusan emosi dan teknik menyelesaikan konflik secara matang,” kata keterangan itu.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokannya.
Selain itu, saksi terbabit memberitahu bahawa dia dan Unit Disiplin menyediakan satu ‘laporan satu muka surat’ 14 Mac.
Kemudian pada 17 Julai, saksi bersama seorang lagi guru dan dua pelajar Tingkatan Empat membantu untuk mengemas barangan peribadi Zara Qairina sebelum menemui diari berwarna coklat serta sebuah buku latihan dikatakan milik remaja itu.
Saksi mengaku membaca kedua-dua buku yang dijumpai tetapi berkata, ia hanya pembacaan ‘tidak teliti’ dan hasil bacaan itu saksi membuat andaian remaja itu mempunyai masalah keluarga.
Saksi bersetuju andaian itu adalah seperti apa yang disebarkan di media sosial sebelum prosiding inkues selain mengaku tiada siapa mengarahkannya untuk membaca kedua-dua buku itu dan tiada siapa mengarahkannya membuat andaian.










