KOTA KINABALU — Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan komitmennya untuk terus menjadi saluran rasmi yang membawa suara rakyat Sabah ke peringkat nasional, sekali gus membezakan gabungan itu daripada retorik politik yang hanya bersifat simbolik atau emosi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BN Sabah menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah parti bukan sekadar pada kelantangan slogan, tetapi pada keupayaan mempengaruhi dasar serta memastikan tuntutan rakyat negeri ini diterjemahkan kepada pelaksanaan yang nyata.
Sebagai anak jati Sabah, pemimpin BN menegaskan mereka tidak hadir ke Putrajaya untuk “menumpang kuasa”, sebaliknya untuk mengangkat suara rakyat. “Kami bukan simbol, kami adalah wakil sebenar rakyat Sabah di pusat pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.
BN menjelaskan bahawa sistem politik persekutuan beroperasi melalui hubungan institusi, saluran kuasa dan keupayaan berunding bukan melalui sorakan atau sentimen semata-mata. Justeru, BN Sabah memainkan peranan strategik sebagai jambatan rasmi antara negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan dasar nasional membawa manfaat langsung kepada rakyat di negeri ini.
Kenyataan itu turut menegur tindakan parti-parti tertentu yang menyemarakkan sentimen anti-Semenanjung sebagai strategi politik jangka pendek. BN menyifatkan pendekatan itu sebagai “strategi defisit” yang melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan berprofil tinggi.
“Kekuatan Sabah tidak lahir daripada bermusuhan. Kekuatan Sabah lahir daripada kedudukan yang dihormati, hubungan yang matang, dan kemampuan berunding di meja pusat,” tambah kenyataan itu.
BN Sabah menegaskan, prinsip perjuangan mereka kekal jelas iaitu “Sabah tidak perlu bermusuh atau menanam sentimen anti-Semenanjung untuk dihormati; Sabah hanya perlu kuat untuk didengari.”
Dengan pengalaman pentadbiran, capaian institusi dan mandat rakyat, BN percaya hanya parti yang mempunyai saluran kuasa dan hubungan formal dengan kerajaan pusat mampu memastikan suara Sabah bukan sekadar tuntutan tetapi diterjemahkan kepada hasil.










