KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kekuatan gabungan itu tidak sedikit pun terjejas meskipun beberapa bekas penyandang DUN memilih bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurutnya, keputusan individu berkenaan adalah hak peribadi dan tidak memberi sebarang kesan terhadap persiapan GRS menghadapi pilihan raya.
“Tidak ada perubahan pada kekuatan GRS. Itu keputusan mereka, tetapi strategi kami tetap berjalan seperti dirancang,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Manifesto PRN17 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Antara bekas penyandang yang bertindak keluar dan bertanding sebagai Bebas termasuk Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Jainal (Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Patagas) dan Datuk Roland Chia (Inanam).
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran manifesto, Hajiji menekankan bahawa dokumen bertema “Rumah Kita, Kita Jaga – TanahAir Maju, Rakyat Berkemajuan” itu adalah deklarasi komitmen GRS untuk membawa negeri itu memasuki era pembangunan yang lebih progresif.
Manifesto tersebut, katanya, berlandaskan empat tunjang utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diteruskan oleh kerajaan GRS.










