Kecewa Cinta Dikhianati, Wanita Gantung Diri Selepas Bunuh Anak

KULIM: Cinta bertukar tragedi apabila seorang wanita ditemukan mati tergantung selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Perak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.05 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Kulim Hi-Tech dikerahkan ke lokasi.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat kos rendah. Di dalam bilik pertama, polis menemukan mayat wanita berusia 30 tahun serta anak perempuannya yang berusia empat tahun di atas tilam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zulkifli, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami tekanan emosi akibat kecewa dengan teman lelaki yang dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.

“Polis turut menemui nota tulisan tangan yang menyatakan permohonan maaf kepada ahli keluarga serta luahan tidak sanggup menanggung sakit hati. Dalam nota itu juga, wanita berkenaan menulis bahawa anak-anaknya tidak boleh dijaga oleh sesiapa, menyebabkan dia ‘terpaksa membawa mereka bersama’,” katanya.

Kejadian disedari seorang jiran yang terdengar jeritan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sebelum ternampak wanita itu tergantung pada kipas siling melalui tingkap rumah.

“Anak lelakinya itu turut menjadi sasaran apabila si ibu cuba menjerut lehernya dengan kain dan menolak dari tangga aluminium, namun terselamat selepas ikatan pada lehernya terlucut,” jelas Zulkifli.

Jiran berkenaan kemudian menghubungi polis dan meminta kanak-kanak itu membuka pintu rumah yang berkunci dari dalam.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur pecah masuk atau pencerobohan.

“Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat. Anak lelaki yang terselamat mengalami kesan melecet pada leher dan kecederaan ringan di rahang, kini dirawat di Hospital Kulim,” katanya.

Selain nota tulisan tangan, polis turut menemui MyKad ketiga-tiga beranak serta kad mesin juruwang automatik (ATM) milik si mati berhampiran lokasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

BBerkaitan

Latest articles