Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja dua hari ke Thailand atas jemputan rasmi Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, dengan tumpuan perbincangan merangkumi isu banjir di selatan Thailand dan Kelantan, keterhubungan sempadan serta peranan ASEAN dalam menangani isu serantau.
Pesawat khas yang membawa beliau tiba di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand sekitar jam 1.20 tengah hari waktu tempatan, disambut oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.
Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Othman Hashim.
Setibanya, Anwar terus menghadiri mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn di Government House, Bangkok. Lawatan ini adalah yang keempat oleh beliau ke Thailand sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Menurut Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui, perbincangan dijangka tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian isu banjir di sempadan selatan, serta memperkukuh hubungan dua hala dari aspek pembangunan infrastruktur dan pelaburan bersama.
Antara kemuncak lawatan ialah pemeteraian dua perjanjian penting antara Malaysia dan Thailand, iaitu pembinaan jambatan kedua serta penaiktarafan jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang dan Su-Ngai Kolok. Perjanjian itu akan ditandatangani oleh Nanta dan Suriya.
Anwar juga dijadualkan menghadiri sesi libat urus bersama kapten industri Thailand serta Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN. Pertemuan dengan Ketua Junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, turut dijangka berlangsung sebagai sebahagian usaha diplomatik dalam kerangka ASEAN, meskipun masa dan lokasi pertemuan belum diumumkan.
Malaysia dan Thailand menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 dan kekal sebagai rakan dagang strategik. Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN. Pada 2024, nilai dagangan dua hala mencecah RM114.56 bi