Pengurup Wang Dilepaskan SPRM Atas Faktor Kesihatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan seorang pengurup wang yang ditahan bagi membantu siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas suspek mengalami masalah kesihatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata individu berkenaan merupakan antara tangkapan terbaharu dalam siasatan kes tersebut.

“Suspek telah direman selama dua hari bagi memudahkan siasatan lanjut sebelum mengadu mengalami masalah jantung.

“Doktor mengesahkan bahawa dia mengalami sekatan di jantungnya, dan atas faktor kesihatan, kami tiada pilihan selain membebaskannya bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi.

Azam menegaskan bahawa pembebasan suspek dibuat semata-mata atas faktor kesihatan dan bagi memastikan dia menerima rawatan lanjut yang diperlukan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap Ismail Sabri, Azam memaklumkan bahawa proses pengambilan kenyataan bekas Perdana Menteri ke-9 itu dijangka mengambil beberapa sesi lagi.

“Saya tidak boleh meramalkan bila penyiasat kami akan menyimpulkan proses itu, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan pendakwaan, Azam berkata siasatan masih di peringkat pengumpulan maklumat, dan terdapat ramai lagi individu yang perlu ditemu bual sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya bersabar dan membenarkan SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus.

BBerkaitan

Latest articles