Wartawan Malaysiakini Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan portal berita Malaysiakini, B. Nantha Kumar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang warga asing.

Nantha Kumar, 42, didakwa menerima wang tersebut daripada seorang warga Pakistan di sebuah hotel sebagai dorongan untuk tidak menerbitkan artikel mengenai sindiket yang melibatkan pekerja asing.

Hakim Mohd. Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengarahkan pasportnya diserahkan serta mewajibkan beliau melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, manakala peguam P. Purshotaman mewakili tertuduh.

BBerkaitan

Latest articles