KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Bersatu dan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman difailkan bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, berhubung pemberhentian keahliannya dalam parti itu.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati permohonan plaintif menimbulkan isu undang-undang dan fakta yang boleh dipertikaian.
Tetapi, hakim membenarkan permohonan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya Datuk Seri Hamzah Zainudin (sebelum ini setiausaha agung) serta Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah supaya menolak permohonan membatalkan PRK DUN Nenggiri oleh Azizi.
Roz Mawar berkata Mahkamah Tinggi bukan forum sesuai untuk mendengar permohonan sedemikian dan Azizi sepatutnya memfailkan kes melalui petisyen pilihan raya.
Beliau menetapkan 28 April ini untuk mendengar kes itu.
Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, antara enam wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Lima lagi ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).