KUALA LUMPUR: Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) dinaikkan daripada rendah kepada sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa yang berpotensi meningkatkan risiko ancaman siber terhadap negara.
Peningkatan tahap itu dibuat Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) selepas mengambil kira keperluan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan digital, khususnya membabitkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Susulan keputusan itu, NACSA mengadakan mesyuarat bersama ketua sektor dan entiti NCII bagi menyelaras langkah kesiapsiagaan serta memastikan tahap keselamatan sistem masing-masing dipertingkatkan.
Antara langkah yang perlu dilaksanakan termasuk pemantauan keselamatan siber selama 24 jam, pemasangan tampalan keselamatan sistem, pengaktifan pengesahan pelbagai faktor (MFA) serta pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan.
Selain itu, ketua sektor NCII turut diwajibkan mengemukakan laporan status ancaman kepada NACSA setiap minggu bagi membolehkan perkembangan keselamatan siber dipantau secara berterusan.
Sepanjang Oktober lalu, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) turut mengeluarkan lapan amaran dan nasihat keselamatan berkaitan kelemahan sistem yang memberi kesan kepada entiti NCII serta agensi kerajaan.
Perkembangan itu berlaku ketika Malaysia berdepan potensi peningkatan ancaman keselamatan susulan perubahan landskap geopolitik dan kepentingan strategik negara dalam sektor digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Malaysia berpotensi menjadi sasaran ancaman keselamatan berdasarkan maklumat risikan kerajaan.
Beliau turut mengaitkan risiko berkenaan dengan kemajuan infrastruktur digital negara, pertumbuhan sektor pusat data serta pendirian tegas Malaysia dalam isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.
Bagaimanapun, peningkatan NCTL kepada tahap sederhana tidak semestinya menunjukkan negara sedang berdepan serangan siber berskala besar, sebaliknya mencerminkan langkah meningkatkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan bagi melindungi sistem serta perkhidmatan penting negara.










