Malaysia Tolak Cadangan Pindahkan Penduduk Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap dengan pendiriannya, seiring dengan negara-negara Arab, menolak sebarang cadangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau masih meneliti kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin di luar wilayah mereka.

“Pendirian Malaysia selari dengan negara-negara Islam yang lain… selebihnya kita akan ulas kemudian. Kita sedang meneliti kenyataan (Trump) terlebih dahulu sebelum memberikan respons lanjut,” kata Anwar kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas kenyataan berulang Trump yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin ke negara lain seperti Mesir dan Jordan. Malah, dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump menyatakan bahawa AS akan membangunkan semula Gaza dengan mengusir penduduknya dan menjadikan wilayah itu sebagai kawasan untuk komuniti antarabangsa.

Kenyataan Trump itu mendapat penolakan tegas daripada enam menteri negara Arab dalam satu mesyuarat di Kaherah, Mesir, Sabtu lalu. Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Mesir, Pihak Berkuasa Palestin, dan Liga Arab dalam satu kenyataan bersama menegaskan sokongan penuh terhadap hak rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, Anwar menghadiri majlis pelancaran dua jilid buku bertajuk A Malik Bennabi Reader serta merasmikan penubuhan International Institute of Futures Studies di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kos pajakan 28 unit helikopter bernilai RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun bagi pasukan keselamatan negara, Anwar menjawab bahawa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan memberikan penjelasan lanjut.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat, menyatakan bahawa jumlah kos pajakan itu terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 helikopter oleh Poland.

BBerkaitan

Latest articles