KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad telah membayar RM830,034.75 kepada peguam tiga pemimpin DAP.
Siti Mastura kini sedang menunggu rayuan terhadap penguatkuasaan penghakiman dalam kes fitnah mereka terhadapnya.
Dalam pada itu bayaran dibuat ke akaun SN Nair & Partners, firma guaman yang mewakili veteran DAP Lim Kit Siang, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam saman fitnah mereka terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
Bayaran itu dimaklumkan peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Siti Mastura di Mahkamah Tinggi ketika permohonannya untuk menangguhkan penghakiman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dikemukakan di hadapan Hakim Quay Chew Soon dalam kamar.
“Anak guam saya sudah membuat pembayaran ke akaun firma guaman Nair dengan syarat wang itu akan disimpan dalam akaun peguam cara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.
“Ini adalah seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata Yusfarizal yang hadir bersama SN Nair.
Tahun lepas, mahkamah memerintahkan Siti Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, RM200,000 kepada Kok dan RM25,000 sebagai kos guaman kepada setiap seorang.
Mahkamah Tinggi, pada 4 Dis, mendapati Siti Mastura bersalah atas tuduhan memfitnah kerana mengaitkan ketiga-tiga pemimpin itu dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dalam ceramah pilihan raya.
Mahkamah memutuskan bahawa kenyataannya tidak berasas dan merosakkan reputasi pemimpin.
Siti Mastura telah memohon penangguhan pelaksanaan bagi menangguhkan pembayaran.
Yusfarizal berkata pengurusan kes untuk rayuan itu ditetapkan pada 13 Mac.