Masyarakat Diminta Terus Perjuangkan, Bantu Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan gencatan senjata di Gaza sebagai usaha berterusan menubuhkan negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka yang telah lama tertangguh.

Dalam masa yang sama Mohd Na’im melihat persetujuan gencatan senjata sebagai satu perkembangan positif serta amat dialu-alukan.

“​Sesungguhnya mangsa-mangsa di Palestin telah melalui konflik ini dengan penuh kesengsaraan dan penderitaan.

“Mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam masa yang sama Mohd Na’im memaklumkan ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa.

“Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan,” ujarnya.

Menurut laporan, perunding antara Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata selama 42 hari serta pembebasan tebusan di Gaza yang dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari (Ahad).

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, yang memainkan peranan penting dalam proses perantaraan memaklumkan kedua-dua belah pihak sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara teknikal sebelum perjanjian dimuktamadkan.

Perjanjian ini melibatkan gencatan senjata selama enam minggu pada fasa pertama, yang diikuti penarikan secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza.

Dalam masa yang sama, tebusan yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang dipenjara oleh Israel.

BBerkaitan

Latest articles