KUALA LUMPUR: Meskipun pembunuhan Altantuya Shaariibuu sering dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, namun bekas Perdana Menteri itu menafikan bahawa beliau mengenali dan pernah bertemu dengan wanita warga Mongolia berkenaan.
Hal itu dinyatakan peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerusi podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Terdahulu, Khairy menunjukkan gambar kononnya Najib bersama Altantuya di satu lokasi dan bertanya kepada Muhammad Shafee tentang perkara itu.
Muhammad Shafee memberitahu beliau pernah bertanya Najib mengenai desas-desus kononnya bekas Presiden UMNO itu pernah minum pagi bersama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Altantuya.
“Najib tidak menunjukkan reaksi terkejut dan dia tengok tepat ke arah saya sambil mengatakan perkara itu tidak berlaku dan dia tidak mengenali wanita berkenaan.
“Najib menyatakan tidak pernah melihatnya dan tidak pernah berada di hotel yang sama atau di mana-mana pun dengan wanita itu,” jelasnya.
Muhammad Shafee mengingatkan bahawa perbicaraan kes pembunuhan Altantuya di Mahkamah Tinggi hanya melibatkan tiga individu iaitu Abdul Razak serta dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Beliau berkata, pada akhir perbicaraan, pertuduhan terhadap Abdul Razak digugurkan kerana tidak cukup bukti manakala Sirul Azhar serta Azilah dipanggil membela diri dan mereka didapati bersalah.
“Sepanjang perbicaraan, yang ini mustahak, nama Najib pun tak keluar langsung,” jelasnya.