Pemimpin Politik Disaran Fahami Rukun Negara

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa seluruh pihak di negara ini, termasuk pemimpin-pemimpin politik untuk mengingat semula isi-isi Rukun Negara supaya isu sensitif tidak sengaja dibangkitkan.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang masih lagi cenderung menghina institusi diraja ekoran banyak amaran telah dikeluarkan.

“Saya rasa jelas, amaran sudah diberikan, sultan pun sudah bertitah jika ada lagi cenderung untuk menghina institusi raja, tindakan akan diambil tidak mengira latar belakang. Jangan buat-buat cerita lain apabila ditahan atau ditangkap. Berhati-hatilah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games, hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya wujud komplot dan rancangan untuk menangkap beliau sejak enam bulan yang lepas.

Beliau turut menjelaskan penangkapan yang dibuat pada 18 Julai lalu berdasarkan kronologi siasatan kes dan laporan polis yang diterima kerana menghina Sultan Selangor.

Tambah Ayob Khan, sesiapa pun boleh membuat macam-macam dakwaan mengikut tafsiran masing-masing dan mengikut kronologi, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor pada 11 Julai lalu sebelum laporan polis pertama dibuat ke atasnya sehari selepas itu.

“Pada 14 Julai pula, polis turut menerima laporan daripada Dewan di-Raja Selangor berhubung Muhammad Sanusi yang menghina Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

“Berdasarkan laporan polis itu, siasatan dijalankan dan tangkapan dibuat mengikut kronologi siasatan kes tersebut pada 18 Julai lalu dan pada hari yang sama Muhammad Sanusi dituduh di mahkamah, jadi tidak timbul isu pihak polis menjalankan siasatan enam bulan sebelum itu atau ada konspirasi lain.

“Tindakan dibuat susulan kenyataan yang dimuat naik iaitu menghina institusi diraja,” katanya

Muhammad Sanusi sebelum ini membuat dakwaan tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan rakannya yang memberi amaran tindakan akan diambil kepadanya susulan kritikan terbukanya terhadap pihak-pihak tertentu.

Diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan 3R ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang – Ayob Khan berkata, kertas siasatan berkaitan sudah dihantar kepada Peguam Negara pada 17 Julai lalu.

BBerkaitan

Latest articles