KUALA LUMPUR: UMNO tidak dapat menahan atau menghentikan tindakan mana-mana pemimpin parti itu yang dipecat mahupun yang sedang digantung daripada terus melontar kritikan terhadap parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam masa yang sama menambah bahawa apa yang dilakukan oleh pihak berkenaan akhirnya akan dinilai sendiri oleh ahli-ahli parti.
“Kita tidak dapat menahan orang daripada bercakap apa juga yang diperkata dan dilemparkan. Ahli UMNO boleh nilai sendiri apa juga yang dikatakan kerana kita mengamalkan kebebasan bersuara, tambahan pula mereka tidak lagi ahli UMNO (yang dipecat) dan yang digantung itu terpulang kepada mereka untuk bercakap, kita tidak boleh halang.
“Tetapi UMNO parti yang telah lama, saya jangkakan ahli boleh buat penilaian sendiri kadang-kadang ada ungkapan yang mereka lemparkan itu merupakan psywar, melepaskan geram.
“Saya harap ahli UMNO tidak terganggu dengan apa yang dikatakan,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), hari ini.
Reaksi Mohamad itu merujuk kepada kenyataan beberapa ahli UMNO yang digantung dan dipecat mengenai parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini membuat jangkaan bahawa UMNO akan ‘bungkus’ pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menyusul adalah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa kerosakan UMNO pada hari ini diakibatkan nasihat oleh Datuk Seri Ahmad Maslan semasa menjadi Setiausaha Agung parti sebelum ini.
Dakwa Tajuddin, Ahmad sendiri enggan ambil kisah pendapat akar umbi isu calon yang diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum, tahun lalu.
Sementara itu, Mohamad memberi peringatan kepada agar ahli-ahli UMNO untuk terus ke hadapan dan meninggalkan mana-mana pemimpin yang sudah tiada kaitan dengan UMNO.
“Kita move foward seperti yang saya cakap dalam perasmian Puteri, Pemuda dan Wanita, kita tidak lagi mampu berpecah dan tidak mampu lagi berselisih dan berpuak-puak serta kurangkan sindir-menyindir satu sama lain.
“Jika ada pandangan atau untuk menegur parti, gunakan saluran yang ada dalam parti untuk kita bincang dan perbaiki apa kelemahan UMNO tidak lekang daripada kelemahan dan jika ada pandangan yang baik salurkan dalam saluran parti,” katanya lagi.